Thursday 5 May 2016

Kebaikan GST di Malaysia







Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST adalah cukai kepenggunaan berasaskan konsep nilai tambah. Berbeza dengan cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang merupakan cukai seperingkat, GST adalah cukai berperingkat. Pembayaran cukai dibuat di setiap peringkat oleh perantara dalam proses pengeluaran dan pengedaran. Cukai itu sendiri bukan merupakan suatu kos kepada perantara kerana mereka boleh menuntut kembali GST yang telah dikenakan ke atas input perniagaan mereka.

GST dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan di setiap peringkat pengeluaran dan pengedaran dalam rantaian pembekalan termasuk pengimportan barang dan perkhidmatan.

GST sebenarnya dapat mendidik pengguna menjadi lebih berhemat. Sekiranya pengguna tidak mahu membayar lebih GST maka hadkan perbelanjaan kepada yang perlu sahaja. Ini berdasarkan kepada GST adalah cukai penggunaan di mana lebih banyak anda pakai atau beli lebih banyak anda bayar. Orang berada mungkin akan mengguna lebih. Ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada pendapatan negara yang akhirnya dapat digunakan untuk kepentingan rakyat juga.

Antara kebaikan lain GST ialah kadar GST adalah lebih rendah (enam peratus) berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada kadar 10 peratus dan enam peratus. SST adalah cukai berganda, sebaliknya GST adalah sistem satu cukai terhadap barangan dan perkhidmatan. Di bawah SST pengguna terpaksa membayar harga yang lebih mahal kerana cukai jualan merupakan sebahagian daripada kos yang akan dimasukkan ke dalam harga jualan dan dikenakan cukai perkhidmatan apabila menyediakan perkhidmatan kepada pengguna.
GST dapat meningkatkan aliran pendapatan negara. Kerajaan pusat dijangka akan menjana lebih banyak pendapatan dengan pelaksanaan GST. Pendapatan kerajaan yang bertambah ini dapat digunakan untuk perbelanjaan pembangunan dan kesejahteraan rakyat. Lebih ramai orang miskin akan dapat dibantu. GST juga membolehkan kerajaan mengurangkan cukai korporat dan pendapatan.

Ini dapat menggalakkan pelaburan, mendorong pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran global yang berdaya saing. Pertumbuhan ekonomi negara pula akan mencipta pekerjaan dan meningkat pendapatan. Pelaksanaan GST di 160 negara di dunia membuktikan GST adalah sistem percukaian yang baik, cekap dan adil kerana semua orang membayar cukai berdasarkan penggunaan.
Dalam Belanjawan 2016 yang telah dibentangkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, kerajaan bercadang untuk melakukan beberapa penambahbaikan yang menjadi tarikan kepada saya dalam pelaksanaan GST telah dikuatkasakan bermula 1 Januari 2016 lalu. 

Antara penambahbaikan tersebut adalah  pengenaan GST pada kadar sifar ke atas semua jenis Ubat Terkawal di bawah senarai Racun Kumpulan A, B, C dan D, serta tambahan sebanyak 95 jenama ubat “over the counter”, meliputi ubat bagi 30 jenis penyakit seperti ubat kanser, kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Ini melibatkan peningkatan dua kali ganda, dari 4,215 kepada 8,630 jenama ubat.

Bukan itu sahaja, pengenaan GST pada kadar sifar ke atas barangan makanan berikut:
1.      Susu bayi dan kanak-kanak berasaskan kacang soya dan susu organik;
2.      Dhal (parpu) berasaskan kekacang daripada kacang kuda, kacang hijau dan kacang putih;
3.      Akar teratai dan sengkuang air;
4.      Biji sawi;
5.      Gula merah;
6.      Mee kolok kering

Penambahbaikan seterusnya adalah kerajaan mencadangkan supaya threshold jualan tahunan untuk tujuan pendaftaran di bawah skim ini diturunkan daripada 100 ribu ringgit kepada 50 ribu ringgit bagi membolehkan petani berskala kecil mendapat manfaat dari Skim Kadar Rata di bawah GST.
Bagi syarikat-syarikat yang terlibat dalam aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baikpulih di dalam industri aeroangkasa pula akan dibenarkan menyertai Approved Trader Scheme dan diberi pelepasan GST ke atas pengimportan barang-barang.

Di samping itu, pelepasan GST juga diberikan ke atas pengimportan semula barangan yang telah dieksport secara sementara bagi tujuan promosi, penyelidikan atau pameran.

Penambahbaikan seterusnya adalah pelepasan GST bagi industri minyak dan gas diberikan kepada pengimportan semula peralatan yang dieksport secara sementara, bagi tujuan sewaan dan pajakan seperti peralatan pelantar minyak juga platform terapung.

Penambahbaikan yang terakhir adalah pelepasan GST juga diberi untuk perolehan bahan dan peralatan mengajar, kepada penyedia latihan kemahiran dan vokasional yang menjalankan program diluluskan di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006.

Bagi GST pada kad prabayar untuk perkhidmatan telekomunikasi, warga Malaysia yang menggunakan perkhidmatan telekomunikasi prabayar akan mendapat kembali rebat bersamaan dengan amaun GST yang dibayar, yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun perkhidmatan prabayar mereka. Langkah ini adalah mulai 1 Januari 2016 sehingga 31 Disember 2016.

Pengecualian GST bagi Rural Air Services - Pengangkutan penumpang udara merupakan antara mod utama pengangkutan bagi penduduk pedalaman, di Sabah dan Sarawak serta Labuan. Maka, perkhidmatan pengangkutan penumpang udara domestik kelas ekonomi bagi laluan Rural Air Services dikecualikan daripada GST.

Kesimpulan, GST membantu memperluaskan asas percukaian negara, memastikan negara mempunyai sistem cukai yang lebih berdaya tahan serta memperbaiki pematuhan dalam urusan kutipan cukai kerajaan. Agensi antarabangsa seperti Bank Dunia dan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) sudah lama mengingatkan kerajaan bahawa negara ini mempunyai sumber percukaian yang kecil dan tidak dapat bertahan lama untuk jangka masa panjang. Hanya 1.5 juta sahaja pembayar cukai di negara ini, manakala sumber minyak pula tidak akan dapat bertahan lama.

1 comment:

  1. Lucky Club Casino Site
    Lucky Club Casino is a gambling company based in luckyclub Malta that is licensed and regulated by the Malta Gaming Authority. This casino welcomes  Rating: 4.9 · ‎Review by Lucky Club

    ReplyDelete