Friday 1 April 2016

PROGRAM-PROGRAM 1MALAYSIA




1.      Amanah Saham 1Malaysia (AS1M)

AS1M merupakan satu pelaburan saham yang disokong oleh Kerajaan. Ia menawarkan 10 billion unit dana dengan harga tetap pada RM1 seunit kepada semua rakyat Malaysia dengan pelaburan permulaan minimum sebanyak 100 unit. Purata bagi pulangan AS1M ini di antara lima peratus hingga 10 peratus setahun

 


2.      Bantuan Buku 1Malaysia (BB1M)

Di bawah projek ini, setiap pelajar di seluruh negara menerima baucar buku bernilai RM200.  Antara 5.4 juta orang pelajar yang menikmati bantuan ini termasuk dari institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta, kolej-kolej matrikulasi dan juga pelajar-pelajar Tingkatan 6.



3.      Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M)
BL1M adalah program khusus untuk membantu rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda untuk mendapatkan lesen kelas B2 pada harga yang rendah iaitu RM199.


4.      Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)

Bantuan kewangan bernilai RM700 ini diberikan secara terus kepada rakyat Malaysia yang pendapatan isi rumahnya kurang daripada RM4, 000 sebulan. Bayaran secara sekali (one-off) ini dilaksanakan sejak tahun 2012 dan telah memberi manfaat kepada 75 peratus daripada seluruh isi rumah di negara ini. Dalam perlaksanaan BR1M 2014 baru-baru ini, penerima bantuan ini turut menerima Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) bernilai RM50 dengan perlindungan minimum RM1, 000 bagi kematian biasa dan maksimum RM30, 000 bagi kematian akibat kemalangan atau hilang upaya kekal.



5.      Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M)

Di bawah program ini, kad diskaun diberi secara percuma khusus untuk pelajar-pelajar Malaysia di institusi-institusi pengajian tinggi yang sedang megikuti pengajian lebih daripada satu tahun bagi program sijil, diploma, ijazah dan ke atas. Para pelajar dapat menikmati potongan harga sebanyak lima peratus hingga 60 peratus untuk barangan dan perkhidmatan di lebih 2,600 premis perniagaan yang ditawarkan oleh 264 syarikat yang menyertainya. Barangan dan perkhidmatan yang dimaksudkan termasuk buku, alat tulis, pakaian sukan, pengangkutan, penginapan, makanan dan minuman, klinik kesihatan, bengkel automotif dan perkhidmatan rekreasi.



6.      Kedai Kain Rakyat 1Malaysia (KKR1M)

Kedai-kedai di bawah projek ini menawarkan kain dan pakaian yang berkualiti tinggi pada harga yang rendah, dengan diskaun sehingga 70 peratus. Ia bertujuan untuk membantu golongan berpendapatan rendah membeli kain untuk dijadikan pakaian harian, pakaian seragam sekolah, langsir dan keperluan-keperluan lain. Pada masa ini, terdapat 19 buah kedai seumpamanya di seluruh negara dan sebanyak 50 buah kedai lagi akan dibuka pada tahun ini.

 








7.      Klinik 1Malaysia

Kini, rakyat Malaysia boleh menikmati perkhidmatan kesihatan dengan bayaran sebanyak RM1 sahaja. Terdapat lebih 50 Klinik 1Malaysia di seluruh negara dan kesemua klinik ini terletak di kawasan yang strategik seperti di dalam kawasan perumahan. Buat masa ini, tiga hingga empay klinik seumpamanya beroperasi di setiap negeri. Klinik 1Malaysia menyediakan perkhidmatan kesihatan yang asas kepada semua rakyat Malaysia yang memerlukannya. Ia dikendalikan oleh jururawat-jururawat dan pembantu perubatan yang berpengalaman dan mempunyai rekod perkhidmatan sekurang-kurangnya lima tahun. Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuklah pembedahan kecil, jahitan, cuci luka dan  balutan, serta rawatan bagi penyakit-penyakit seperti batuk, selsema, demam, kencing manis dan darah tinggi. Warga emas dikecualikan daripada sebarang bayaran.

 


8.      Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA)

Kepada mereka yang sentiasa menginginkan rumah idaman selama ini, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) adalah jalan penyelesaiannya. Di bawah inisiatif ini, pihak Kerajaan membangun, membina dan menyenggara projek perumahan mampu milik untuk rakyat Malaysia yang berpendapatan sederhana (dengan pendapatan isi rumah di antara RM2, 500 dan RM7, 500).
Projek-projek PR1MA kini sedang dibangunkan di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang. Setiap unit hartanah ini dijual dengan harga dari RM100, 000 hingga RM400, 000 serta dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan dan prasarana untuk kehidupan yang lestari.Projek-projek PR1MA ini akan diperluaskan ke negeri-negeri lain tidak lama lagi.


9.      Program Susu 1Malaysia (PS1M)

Ini merupakan program susu percuma yang diberikan kepada lebih tiga juta pelajar di sekolah rendah di seluruh negara dengan tujuan untuk membina generasi Malaysia yang kuat dan sihat. Ia juga DAPATmenggalakkan lagi pertumbuhan industri tenusu di Sabah dengan menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk kampung demi memenuhi permintaan untuk susu segar.


10.  Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA)

Program ini bertujuan untuk memberi bantuan kewangan bulanan kepada golongan warga emas yang berpendapatan rendah, kanak-kanak miskin, orang kurang upaya, ibu tunggal dan balu kepada anggota tentera dan polis. Bantuan ini disalurkan untuk menampung hidup golongan tersebut agar mereka tidak merasa tersisih oleh masyarakat. Setiap seorang atau isi rumah menerima sebanyak RM100 hingga RM450.


11.  Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M)

Kira-kira 99 kedai seumpama ini telah dibuka di seluruh negara buat masa ini. Setiap kedai ini, yang berformatkan seperti pasar mini, menawarkan pelbagai jenis barangan keperluan  harian dengan harga yang rendah. KR1M sememangnya dapat mengurangkan beban rakyat Malaysia terutamanya golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar.
Buat masa ini, terdapat lebih 250 barangan runcit dijual di KR1M dan kesemua barangan ini   dibungkus dan dilabel dengan logo ‘Kedai Rakyat 1Malaysia’. Barangan runcit yang dijual di KR1M ini adalah 30 peratus hingga 50 peratus lebih murah berbanding kedai-kedai atau pasar raya yang lain.




12.  Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia

Kini, ibu-ibu mengandung boleh menikmati kemudahan kelas pertama untuk bersalin dengan hanya RM3 sahaja. Sejak dibuka pada tahun 2012, pusat bersalin ini menawarkan perkhidmatan rawatan, bilik, ubat-ubatan dan makanan yang sama standardnya dengan kemudahan wad kelas pertama untuk bayaran yang jauh lebih murah. Penjawat awam boleh menikmati kemudahan ini tanpa perlu dikenakan sebarang bayaran.
Pusat bersalin ini juga dilengkapi dengan kemudahan rawatan fototerapi dan perkhidmatan klinik antenatal dan ginekologi. Selain itu, pakar-pakar obstetrik, ginekologi dan pediatrik akan bertugas setiap hari demi memastikan para pesakit mendapat rawatan yang profesional, berkualiti tinggi dan berkesan. Inisiatif ini merupakan salah satu langkah kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dengan harga yang berpatutan.



No comments:

Post a Comment