Friday 1 April 2016

MALAYSIA MENUJU WAWASAN 2020




Rancangan Malaysia Kesepuluh mengandungi aspirasi Program Transformasi Kerajaan dan Model Baru Ekonomi yang berteraskan pendapatan tinggi, keterangkuman dan kemampanan. Rancangan ini merencanakan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang dengan matlamat untuk menyampaikan hasil yang dihasratkan untuk semua rakyat. Rancangan ini menyediakan pentas bagi transformasi struktur utama yang diperlukan oleh ekonomi berpendapatan tinggi serta hala tuju dasar, strategi dan program baharu yang membolehkan negara tampil sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi.

 Program Transformasi Kerajaan (GTP) diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak pada bulan April 2009. Dua objektif GTP adalah – pertama, untuk mentransformasikan kerajaan agar menjadi lebih efektif dalam penyampaian perkhidmatan dan bertanggungjawab atas keberhasilan yang menjadi keutamaan kepada rakyat; dan kedua, memacu Malaysia ke arah melahirkan masyarakat yang maju, bersatu-padu dan saksama dengan standard kehidupan yang tinggi untuk semua.

Kerajaan cuba menyampaikan jalan penyelesaian yang sebenar kepada permasalahan-permasalahan utama yang telah dikenalpasti dan dikategorikan sebagai National Key Result Area (NKRA) atau Bidang Keberhasilan Utama Negara. Sehingga tahun 2010, beberapa pencapaian telah dikecapi menerusi program ini antaranya jenayah berjaya dikurangkan di mana jenayah jalan dapat dikurangkan sebanyak 35% manakala penurunan jenayah indeks pula sebanyak 15%. Bukan itu sahaja, 2,001 kes jenayah kekerasan tambahan yang tertunggak berjaya diselesaikan pada tahun 2010. NKRA juga berjaya memerangi rasuah dengan mewujudkan pangkalan data pesalah rasuah dalam talian MAAC. Seramai 284 pesalah telah disenaraikan – mengatasi sasaran 84 pesalah pada akhir tahun 2010.

Bukan itu sahaja, program ini juga berjaya mempertingkatkan pencapaian pelajar apabila sistem ranking sekolah yang pertama di Malaysia diperkenalkan untuk memastikan pembangunan sekolah yang berkualiti. Dalam hal ini, sebanyak 20 sekolah telah diiktiraf sebagai sekolah berprestij tinggi di Malaysia buat julung-julung kalinya. Selain itu, taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah berjaya ditingkatkan. Pada akhir tahun 2010, sebanyak 44,643 isi rumah miskin tegar berjaya dikurangkan kepada peratus sifar dengan bakinya hanya berjumlah 108 (0.2%). Pendapatan 2,000 usahawan wanita yang diberi latihan juga meningkat sebanyak 78.6%. Sebanyak 35,095 unit rumah kos rendah juga telah ditawarkan kepada mereka yang memerlukan.

Pencapaian seterusnya adalah NKRA mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar di mana kehidupan dua juta penduduk berjaya diubah melalui inisiatif pembangunan luar bandar. NKRA juga telah mempertingkatkan pengangkutan awam di bandar. Kesesakan bandar raya KL berjaya diredakan dengan melencongkan lebih 500 buah bas ekspres ke Kuala Lumpur setiap hari. 634 hentian bas di Hentian Klang juga dibaik pulih.

Selain daripada itu, kerajaan juga memperkenalkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang pada tahun 2010. ETP dibangunkan melalui pendekatan baru dengan memberikan fokus kepada jentera pertumbuhan iaitu 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA). Program ini telah membuahkan hasil apabila Malaysia mencapai kemajuan besar dari segi ekonomi di mana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal kukuh dan stabil, kadar pengangguran dan inflasi kekal rendah, dan pelaburan, termasuk yang diperoleh daripada Tawaran Awam Permulaan (IPO) ketiga terbesar di dunia semakin meningkat. Kejayaan ini dilihat dapat membantu mentransformasikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020.

Untuk menggerakkan negara ke hadapan, kerajaan telah merangka Model Ekonomi Baru (MEB) yang boleh dicapai melalui Program Transformasi Ekonomi yang akan melonjakkan Malaysia ke arah status negara maju sejajar dengan matlamat Wawasan 2020. Antara intipati Model Ekonomi Baru adalah meningkatkan pendapatan tahunan per kapita sebanyak USD7, 000 (RM22, 806) kepada USD15, 000 (RM48, 870) dalam tempoh 10 tahun. Ianya dapat dilakukan dengan membangunkan sektor sedia ada dan memaksimumkan potensi sektor baru melalui inovasi. Selain itu, Model Ekonomi Baru juga memberi perhatian kepada pelaburan dan persaingan untuk bakat terbaik yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Di samping itu, modal insan berkepakaran akan dinilai berdasarkan kompetensi yang mereka miliki dan prestasi diukur berdasarkan peningkatan antarabangsa.

Kerajaan Malaysia memahami keperluan untuk menarik, membangun dan mengekalkan modal insan berkepakaran tinggi untuk melaksanakan aktiviti kerja bertaraf dunia bagi mentransformasi ekonomi Malaysia kepada ekonomi berpendapatan tinggi. Sehubungan ini, Talent Corporation (TalentCorp) telah ditubuhkan pada Januari 2011 dengan mandate untuk mencapai objektif tersebut.

Antara fokus utama TalentCorp adalah untuk menggalak rakyat Malaysia yang berkepakaran tinggi pulang ke Malaysia. Para pelajar yang sedang menyambung pelajaran di luar negara dan juga para profesional Malaysia yang sedang bekerja di luar negara merupakan talent pool yang harus diberi perhatian. Bagi menarik minat para pelajar Malaysia di luar negara, TalentCorp telah mengambil bahagian dalam Career Fair di United Kingdom dan United States of America. Seterusnya, TalentCorp juga akan mengambil bahagian dalam Career Fair di Australia. Objektif utama TalentCorp adalah memberi gambaran yang lebih jelas dan meningkatkan kesedaran para pelajar tersebut peluang kerjaya profesional yang kini semakin kompetitif.

Selain itu, Program Pakar (Returning Expert Program –REP) telah dipindahkan ke TalentCorp pada tahun 2011. Pada bulan April 2011, YAB Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan insentif yang telah ditambahbaik. Program tersebut yang sebelum ini dikendalikan oleh Kementerian Sumber Manusia telah ditambahbaik dari segi insentif dan pengukuhan mekanisme pelaksanaan. Pencapaian REP pada tahun 2009 adalah sebanyak 215 permohonan manakala tahun 2010 sebanyak 160 permohonan. Sejak pengumuman insentif yang telah ditambahbaik pada 12 April 2011, jumlah permohonan REP yang diterima sangat menggalakkan dan semakin meningkat dan dijangka akan mendapat sambutan yang lebih baik berbanding tahun 2009 dan 2010.

Pelaksanaan Goods and Services Tax (GST) merupakan langkah dalam dasar fiskal kerajaan bagi memperluas dan mempertingkatkan lagi sumber pendapatan negara. Buat sekian lama hasil negara hanya bergantung pada cukai pendapatan individu dan korporat serta dividen petroleum oleh PETRONAS. Hanya kira-kira dua juta orang sahaja yang membayar cukai pendapatan, manakala hasil petroleum pula semakin berkurangan.

Justeru, GST sebagai satu bentuk cukai kepenggunaan akan berupaya meningkatkan hasil atau pendapatan kerajaan. Peningkatan hasil kerajaan nanti bukan sahaja dapat digunakan untuk tujuan pembangunan tetapi kerajaan akan dapat membantu lebih ramai golongan berpendapatan rendah.

GST akan membolehkan kerajaan mengurangkan cukai korporat dan cukai pendapatan individu. Ini penting untuk menggalakkan pelaburan. Pelaburan yang banyak dan pelbagai akan membantu mewujudkan peluang pekerjaan, mengekalkan bakat serta menjadikan negara lebih berdaya saing. Ini bermakna, GST akan membantu negara mencapai negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.


Dokumen Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) merangkumi strategi, program dan peruntukan yang diperlukan bagi tujuan merealisasikan Misi Nasional dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih maju, saksama dan bersatu padu. Dokumen RMKe-9 turut menghuraikan Misi Nasional sebagai rangka dasar dan pelaksanaan yang terdiri daripada lima teras utama bagi mencapai matlamat Wawasan 2020.

No comments:

Post a Comment