Tuesday 17 May 2016

Bagaimana kerajaan Malaysia melindungi perusahaan kecil dan sederhana melalui ubahsuaian kandungan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) adalah perjanjian merentas benua melibatkan 11 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat(AS) dan Singapura. Perjanjian ini yang masih diperingkat rundingan semenjak tahun 2010 lagi. Di peringkat Malaysia, sebanyak 8 bab daripada 29 sedang dimuktamadkan melibatkan bidang Daya Saing dan memudahkan perniagaan,perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ,kerjasama dan pembangunan kapasiti serta peraturan yang jelas.

Perjanjian ini berhasrat untuk mewujudkan situasi menang-menang sesama negara ahli dan memaju kemajuan ekonomi negara anggota. TPPA adalah berbeza dengan perjanjian perjanjian lain seperti didalam platform ASEAN dan lain-lain. Perjanjian TPPA adalah bersifat mengikat dan negara-negara yang mengandatanganinya harus patuh pada isi kandunganya. Sekiranya mana-mana negara anggota tidak mematuhi perjanjian ini, ia boleh dibawa ke muka pengadilan.

Di dalam perjanjian ini telah diselitkan hal-hal yang berkaitan dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). TPPA merupakan satu-satunya FTA yang mempunyai kelebihan kepada PKS di mana ia mempunyai bab khusus untuk PKS yang memberi penekanan terperinci kepada keperluan PKS. Hampir 4,000 tarif akan dimansuhkan termasuk produk yang mempunyai kepentingan eksport kepada Malaysia seperti Tekstil dan Pakaian, Produk Elektrikal & Elektronik (E&E), Produk Kimia & Petrokimia, Produk berasaskan Kayu-Kayan, Produk Makanan dan Produk berasaskan Getah. TPPA memberi akses pasaran yang lebih terbuka untuk barangan eksport PKS khususnya akses ke empat (4) pasaran baharu yang mana Malaysia tidak mempunyai FTA bersama sebelum ini iaitu Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru. PKS akan mendapat peluang menyertai rantaian bekalan serantau dan global kerana lebih banyak input akan perlu diperolehi daripada Negara-negara anggota TPPA untuk memenuhi keperluan peraturan tempatan asal.

Perlaksanaan TPPA juga memberi kesan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS). PKS tempatan seperti Oldtown White Coffee, Hup Seng, Mamee, Marrybrown, Julie’s, Brahim, Bangi Kopitiam dan Ramly telah lama mengambil peluang dari pembukaan pasaran melalui FTA untuk meluaskan perniagaan mereka ke luar negara. Kira-kira 65 peratus daripada lebih 10,000 kod tarif bagi barangan yang terkandung di dalam Daftar Cukai Kastam (Customs Duties Order) tidak lagi tertakluk kepada sebarang cukai import. Melalui perjanjian di bawah Kerjasama Ekonomi ASEAN serta 13 FTA tersebut, sebahagian besar cukai import telah dimansuhkan dan syarikat-syarikat Malaysia termasuk PKS telah pun bersaing dengan syarikat-syarikat luar negara di pasaran tempatan, serantau dan global.

Dalam hal ini juga, pasaran yang terbuka ini telah memberi manfaat kepada syarikat-syarikat Malaysia untuk meningkatkan nilai eksport di pasaran tradisional, menerokai pasaran baru dan menyediakan pekerjaan baru untuk rakyat tempatan. Pada masa ini, Malaysia mempunyai sejumlah 645,000 PKS dan kira-kira 18 peratus daripada jumlah ini telah pun mengeksport serta menyertai rantaian bekalan global (global supply chain) antaranya dalam bidang elektrikal & elektronik (termasuk LED), pemprosesan makanan dan minuman serta peralatan perubatan. Walau bagaimanapun, Kerajaan sedar cabaran yang dihadapi oleh PKS. Oleh yang demikian pelbagai insentif dan bantuan diberikan bagi meningkatkan keupayaan dan daya saing PKS supaya dapat bersaing di pasaran global.

Oleh itu, kerajaan Malaysia komited untuk terus membantu pembangunan PKS khususnya dalam mempersiapkan mereka agar kekal berdaya saing. Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020) menberi tumpuan khusus kepada pembangunan PKS di mana Pelan Induk PKS, yang dibentuk bagi membina kapasiti dan daya saing PKS, akan menjadi asas dalam melaksanakan program pembangunan PKS yang memberi tumpuan kepada empat (4) bidang utama iaitu produktiviti, inovasi, keusahawanan dan keterangkuman. Pelbagai program dan inisiatif pembangunan PKS telah disediakan bagi memangkinkan pertumbuhan dan pengembangan PKS agar mereka dapat meningkatkan keupayaan dan bersaing dengan baik di pasaran global.

Menurut Sinar Online bertarikh 24 Mac 2016, kerajaan akan menganjurkan program pembinaan keupayaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meningkatkan kapasiti mereka di bawah Perkongsian Trans-Pasifik (TPP). Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata program itu akan membantu PKS, terutamanya sektor pembuatan, dalam menghadapi persaingan luar di bawah perjanjian perdagangan itu. Menurutnya, walaupun kepentingan dan keistimewaan yang diberikan kepada PKS tempatan dijamin di bawah TPP, beberapa PKS dalam sektor pembuatan mungkin menghadapi cabaran.
Terdapat 645,000 PKS di negara ini, dan 90 peratus adalah daripada sektor perkhidmatan. Pada pandangan beliau, kebanyakan (PKS) dalam sektor perkhidmatan dilindungi (di bawah TPP). Bagaimanapun, terdapat 37,000 PKS dalam sektor pembuatan dan sebahagiannya mungkin menghadapi cabaran.

Mustapa berkata, beliau akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa dalam tempoh dua hingga tiga minggu untuk meneliti isu-isu yang dibangkitkan oleh PKS berikutan mereka bersedia untuk menangani persekitaran TPP. Sebahagian PKS telah membangkitkan kebimbangan mengenai akses kepada perolehan kerajaan dan persaingan yang tidak saksama daripada syarikat multinasional dengan rakan TPP mendapat lebih banyak peluang. Perjanjian perdagangan itu ditandatangani pada 4 Feb di New Zealand oleh menteri-menteri perdagangan dari 12 negara anggota TPP.

Selain itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga akan membantu 646,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini untuk bersaing dalam pasaran terbuka di bawah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). Timbalan Menterinya Datuk Ahmad Maslan berkata usaha itu akan dilaksanakan secara menyeluruh dalam tempoh dua tahun dengan kerjasama semua agensi di bawah kementerian sebelum perjanjian itu dilaksanakan sepenuhnya. Menurutnya, semua PKS di negara ini mempunyai tempoh dua tahun untuk bersiap sedia menghadapi TPPA.

Tambahan lagi, kapasiti perlu dikukuhkan melalui latihan untuk menjadi syarikat yang berdaya maju dan berdaya saing dalam pasaran lebih terbuka. Latihan ini boleh dilakukan dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia untuk meningkatkan ilmu pengeluaran produk dan pengurusan pengeluaran terkini. Kementerian mempunyai agensi yang berpengalaman untuk membantu PKS menembusi pasaran luar negara dengan lebih efektif selepas TPPA dilaksanakan pada 2018. Beliau berkata, kementeriannya melalui 46 pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan 22 pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di luar negara akan membantu mempromosikan produk keluaran mereka di peringkat antarabangsa.

Disamping itu, PKS akan turut dibantu untuk memasarkan produk mereka secara dalam talian melalui laman sesawang khas yang akan diwujudkan bagi setiap negara yang menyertai TPPA. Laman sesawang ini akan dihubungkan dengan laman sesawang utama bagi aktiviti e-dagang atau e-pemasaran yang melibatkan 12 negara. Kerajaan akan melipatgandakan usaha untuk membantu melahirkan lebih ramai usahawan PKS Bumiputera yang berjaya di negara ini. Katanya pada masa ini, hanya 38 peratus daripada 646,000 PKS adalah milik Bumiputera dan peratusan itu kecil jika dibandingkan dengan jumlah kaum Bumiputera di negara ini dan 90 peratus daripada jumlah PKS itu menjalankan perniagaan dalam sektor perkhidmatan.

Selain itu, kerajaan juga akan melancarkan program Galakkan Eksport Bumiputera (GEB) bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera untuk mengeksport produk masing-masing menerusi sebarang perjanjian perdagangan bebas yang ditandatangani Negara. Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (I) SME Corporation Malaysia (SME Corp.), Isham Ishak berkata, ia bertujuan mempersiapkan PKS-PKS bumiputera terutamanya sebagai persediaan menghadapi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) di peringkat ASEAN.Katanya, program itu akan bermula 2016 dengan peruntukkan dana sebanyak RM40 juta yang akan digunakan sebagai geran atau pinjaman, bagi membiayai aktiviti-aktiviti khidmat nasihat PKS yang menyertainya. Program GEB ini terhasil setelah kerajaan mendengar rintihan PKS-PKS bumiputera tentang nasib mereka bagaimana hendak bersaing di peringkat ASEAN dan TPPA, katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Kata Isham lagi, program GEB itu akan melibatkan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk mengenal pasti PKS-PKS bumiputera daripada pelbagai bidang, dengan sasaran 100 PKS bumiputera berjaya mengeksport produk masing-masing dalam tempoh lima tahun.

Tambahnya, PKS bumiputera ketika ini kebanyakannya menjalankan perniagaan tekstil, perkhidmatan, makanan dan minuman. Beliau turut mencadangkan PKS-PKS tersebut supaya bergabung bagi membentuk sebuah entiti perniagaan yang lebih kukuh.

“Perniagaan mereka mempunyai potensi yang besar melalui AEC dan TPPA. Selama ini produk-produk mereka telah pun dieksport ke pasaran-pasaran negara Islam seperti Indonesia, Brunei dan Asia Barat,” katanya.

SME Corp. merupakan agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang berperanan untuk membantu PKS tempatan.

Jelas Isham, beliau antara ahli pasukan Malaysia yang terlibat di dalam rundingan TPPA dan walaupun pasukan itu diketuai oleh bukan individu bumiputera, namun mereka tidak pernah mengabaikan kepentingan bumiputera semasa rundingan diadakan.

Negara berjaya mendapatkan persetujuan 11 negara TPPA yang lain untuk menjaga kepentingan bumiputera di dalam pembentukan perjanjian tersebut yang dipersetujui pada awal bulan lalu.

Isham berkata, tahun depan SME Corp. akan melancarkan Program Peningkatan Perusahaan Bumiputera (BEEP) dengan menawarkan kemudahan geran bagi menampung sehingga 70 peratus perbelanjaan PKS bumiputera untuk membeli jentera baharu, pengiklanan serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan.


Thursday 5 May 2016

Kebaikan GST di Malaysia







Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST adalah cukai kepenggunaan berasaskan konsep nilai tambah. Berbeza dengan cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang merupakan cukai seperingkat, GST adalah cukai berperingkat. Pembayaran cukai dibuat di setiap peringkat oleh perantara dalam proses pengeluaran dan pengedaran. Cukai itu sendiri bukan merupakan suatu kos kepada perantara kerana mereka boleh menuntut kembali GST yang telah dikenakan ke atas input perniagaan mereka.

GST dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan di setiap peringkat pengeluaran dan pengedaran dalam rantaian pembekalan termasuk pengimportan barang dan perkhidmatan.

GST sebenarnya dapat mendidik pengguna menjadi lebih berhemat. Sekiranya pengguna tidak mahu membayar lebih GST maka hadkan perbelanjaan kepada yang perlu sahaja. Ini berdasarkan kepada GST adalah cukai penggunaan di mana lebih banyak anda pakai atau beli lebih banyak anda bayar. Orang berada mungkin akan mengguna lebih. Ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada pendapatan negara yang akhirnya dapat digunakan untuk kepentingan rakyat juga.

Antara kebaikan lain GST ialah kadar GST adalah lebih rendah (enam peratus) berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada kadar 10 peratus dan enam peratus. SST adalah cukai berganda, sebaliknya GST adalah sistem satu cukai terhadap barangan dan perkhidmatan. Di bawah SST pengguna terpaksa membayar harga yang lebih mahal kerana cukai jualan merupakan sebahagian daripada kos yang akan dimasukkan ke dalam harga jualan dan dikenakan cukai perkhidmatan apabila menyediakan perkhidmatan kepada pengguna.
GST dapat meningkatkan aliran pendapatan negara. Kerajaan pusat dijangka akan menjana lebih banyak pendapatan dengan pelaksanaan GST. Pendapatan kerajaan yang bertambah ini dapat digunakan untuk perbelanjaan pembangunan dan kesejahteraan rakyat. Lebih ramai orang miskin akan dapat dibantu. GST juga membolehkan kerajaan mengurangkan cukai korporat dan pendapatan.

Ini dapat menggalakkan pelaburan, mendorong pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran global yang berdaya saing. Pertumbuhan ekonomi negara pula akan mencipta pekerjaan dan meningkat pendapatan. Pelaksanaan GST di 160 negara di dunia membuktikan GST adalah sistem percukaian yang baik, cekap dan adil kerana semua orang membayar cukai berdasarkan penggunaan.
Dalam Belanjawan 2016 yang telah dibentangkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, kerajaan bercadang untuk melakukan beberapa penambahbaikan yang menjadi tarikan kepada saya dalam pelaksanaan GST telah dikuatkasakan bermula 1 Januari 2016 lalu. 

Antara penambahbaikan tersebut adalah  pengenaan GST pada kadar sifar ke atas semua jenis Ubat Terkawal di bawah senarai Racun Kumpulan A, B, C dan D, serta tambahan sebanyak 95 jenama ubat “over the counter”, meliputi ubat bagi 30 jenis penyakit seperti ubat kanser, kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Ini melibatkan peningkatan dua kali ganda, dari 4,215 kepada 8,630 jenama ubat.

Bukan itu sahaja, pengenaan GST pada kadar sifar ke atas barangan makanan berikut:
1.      Susu bayi dan kanak-kanak berasaskan kacang soya dan susu organik;
2.      Dhal (parpu) berasaskan kekacang daripada kacang kuda, kacang hijau dan kacang putih;
3.      Akar teratai dan sengkuang air;
4.      Biji sawi;
5.      Gula merah;
6.      Mee kolok kering

Penambahbaikan seterusnya adalah kerajaan mencadangkan supaya threshold jualan tahunan untuk tujuan pendaftaran di bawah skim ini diturunkan daripada 100 ribu ringgit kepada 50 ribu ringgit bagi membolehkan petani berskala kecil mendapat manfaat dari Skim Kadar Rata di bawah GST.
Bagi syarikat-syarikat yang terlibat dalam aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baikpulih di dalam industri aeroangkasa pula akan dibenarkan menyertai Approved Trader Scheme dan diberi pelepasan GST ke atas pengimportan barang-barang.

Di samping itu, pelepasan GST juga diberikan ke atas pengimportan semula barangan yang telah dieksport secara sementara bagi tujuan promosi, penyelidikan atau pameran.

Penambahbaikan seterusnya adalah pelepasan GST bagi industri minyak dan gas diberikan kepada pengimportan semula peralatan yang dieksport secara sementara, bagi tujuan sewaan dan pajakan seperti peralatan pelantar minyak juga platform terapung.

Penambahbaikan yang terakhir adalah pelepasan GST juga diberi untuk perolehan bahan dan peralatan mengajar, kepada penyedia latihan kemahiran dan vokasional yang menjalankan program diluluskan di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006.

Bagi GST pada kad prabayar untuk perkhidmatan telekomunikasi, warga Malaysia yang menggunakan perkhidmatan telekomunikasi prabayar akan mendapat kembali rebat bersamaan dengan amaun GST yang dibayar, yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun perkhidmatan prabayar mereka. Langkah ini adalah mulai 1 Januari 2016 sehingga 31 Disember 2016.

Pengecualian GST bagi Rural Air Services - Pengangkutan penumpang udara merupakan antara mod utama pengangkutan bagi penduduk pedalaman, di Sabah dan Sarawak serta Labuan. Maka, perkhidmatan pengangkutan penumpang udara domestik kelas ekonomi bagi laluan Rural Air Services dikecualikan daripada GST.

Kesimpulan, GST membantu memperluaskan asas percukaian negara, memastikan negara mempunyai sistem cukai yang lebih berdaya tahan serta memperbaiki pematuhan dalam urusan kutipan cukai kerajaan. Agensi antarabangsa seperti Bank Dunia dan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) sudah lama mengingatkan kerajaan bahawa negara ini mempunyai sumber percukaian yang kecil dan tidak dapat bertahan lama untuk jangka masa panjang. Hanya 1.5 juta sahaja pembayar cukai di negara ini, manakala sumber minyak pula tidak akan dapat bertahan lama.